Saturday, May 18, 2013

"It is not about being a muslim.."

"Wawa, andai Wawa tak menang pun hari ini, Wawa sebenarnya dah menang!" ujar Ummi.

Wawa yang sedang makan tersedak. "Maksudnya?" 

"Hm.. Macam ini, awak menang ke, kalah ke..."

"Ini hak Wawa!" seloroh Abang secara tiba-tiba, disusuli dengan tawa kami adik-beradik. 

Wawa mencebik sedikit. "Wawa tak faham." 

Saya dan Ummi menggaru kepala. "Er..."

Belum sempat kami menerangkan, Wan bersuara lantang, "Eh, kejap-kejap. Wan faham, Wan faham. Macam Phineas kata, it is not about winning, but it is about joining the game."

"Bravo!" 

"Fuyyo!"

"Well said."

Kami tersengih. Wawa juga tersipu-sipu. 

"Short, yet precise. Tak payah Ummi susah-susah nak terang." 

"Wan belajar kat mana tu?" aju saya, teruja. 

"Kat Phineas and Ferb. Cerita tu memang tak logik, tapi, mesej cerita logik."

Saya terpegun. Wan, seorang anak kecil sudah mula memahami falsafah di sebalik cerita, bukan sekadar menonton kosong lagi!

Memahami falsafah dan ibrah di sebalik cerita, tidak semua orang berupaya berbuat demikian. Apa yang ramai orang mampu buat ialah sekadar mengambil fakta. Saya? Entahlah.

Contoh yang mudah, ramai yang mengetahui fakta bahawa firman pertama yang diturunkan ialah perintah Iqra'. [Jika tidak ingat, mohon rujuk buku teks Sejarah Tingkatan Empat.] Sayang seribu kali sayang, kebanyakan kita hanya memahami perintah tersebut sebagai 'bacalah'. Perintah Iqra' bukanlah sekadar baca yang biasa-biasa. Jika benarlah Iqra' itu bermaksud 'bacalah', maka, apa bezanya Al-Quran dan novel-novel picisan karya manusia?  Jika benarlah Iqra' itu bermaksud 'bacalah', maka, mengapa Rasulullah menggigil-gigil tatkala wahyu pertama diturunkan? 

Iqra' ialah membaca dengan sepenuh hati, disusuli dengan kemahuan yang kuat untuk terus mendalami dan memahami sekali gus membumikan sebagai amal. Paling utama, membaca dengan jiwa yang bersedia untuk taat dan tunduk pada Allah. Benar, ia mudah diucap, namun, untuk dijadikan habit... Ya Allah, izinkanlah kami untuk terus taat padaMu.

Islam, agama fitrah. Tiada istilah convert (masuk) Islam. Yang wujud hanya revert (kembali) kepada Islam. Maka, saya kira, saya juga perlu mengubah kata-kata Phineas. "It is not just about being a muslim, but practising Islam as the one and only way of life.

"Jadi, balik dari pertandingan nanti, Ummi tak nak tengok wajah yang muncung ya, Wawa?" ujar Ummi, mencapai dompet dari atas meja.

Wawa tersengih. Jelas bahawa dia sedang berdebar. 

"Kalau Wawa muncung, kena bagi kami setiap seorang lima puluh ringgit!" saya tersengih nakal. 

"Setuju!" laung Abang dan Wan, serentak. 

Wawa hanya mampu menepuk dahi. Apa nak buat, adik-beradiknya memang begini!

Monday, April 29, 2013

PROMIC 2013.

Mata adik itu berkaca-kaca saat bersalaman dengan saya sebelum pulang.

"Jadi anak yang baik,ya. Paling penting, jaga solat," bisik saya, perlahan. 

Pipinya basah. Saya mendakapnya. 

"Jumpa lagi, ya Kak." Dalam sendu ia berbicara.

Saya hanya tersenyum. 

Tidak pernah terbayang di benak bahawa saya akan menguruskan 288 orang pelajar. Tidak pernah walau sekali. Namun, Allah mengaturkan yang terbaik. Saya terima tawaran itu.

Pengalaman tiga hari dua malam itu sangat berharga. Menguruskan pelajar sekolah rendah nyata berbeza daripada sekolah menengah. Arahan yang diberi perlu spesifik. Setiap ketika perlu ditinjau dan dipantau. Adakala, saya dan rakan-rakan fasi menjadi takut untuk tidur malam kerana bimbang kami terlajak tidur dan akhirnya menyebabkan program tidak berjalan lancar!

Letih? Itu sudah pasti. Namun, ia lesap apabila melihat usaha gigih para guru yang tidak henti-henti berkejar ke sana dan ke mari. Terbit rasa kagum. Lebih-lebih lagi apabila mengimbau saat diri berada di bangku sekolah. Wahai Tuhan Yang Maha Mendengar, Engkau berkati dan rahmatilah kehidupan guru-guru ini dan ganjarilah mereka dengan sebaaik-baik ganjaran. 

Lesu? Ia wujud dalam diri. Tetapi, ia lenyap apabila melihat rakan-rakan fasi yang prihatin dan saling mendokong. Perwatakan masing-masing yang berbeza dan cukup unik tidak menghalang kami untuk bekerjasama. Malah, kerana perbezaan itulah, kami saling melengkapi. Sungguh, saya senang bekerja dengan mereka! Wahai Tuhan Yang Maha Pemurah, takdirkanlah yang terbaik buat mereka di dunia juga di akhirat.

Penat? Itu semestinya. Ia seakan hilang apabila menatap wajah bening adik-adik ini. Saya akui, adakalanya mereka sedikit nakal (Saya rasa, mereka bukan nakal, cuma manja). Namun, di sisi lain, mereka punya hati yang lembut. Saat mudah disentuh jika kena pada caranya. Wahai Tuhan Yang Maha Melihat, kurniakan kejayaan buat adik-adik ini. 

Saya kini benar-benar menyedari. Adakala, perkara kecil memberi impak besar dalam jiwa manusia, khususnya anak-anak. Peluang ini benar-benar saya manfaatkan untuk mengaplikasikan kaedah 'Mendorong Pelajar Corot dengan Menggunakan Teknik Nabi Muhammad'. Dan saya lihat, teknik itu berhasil dalam banyak situasi, sama ada kepada pelajar muslim atau belum muslim.

Sungguh, andai sahaja masa boleh diputar, pasti saya mahu berlama-lama di situ. Bukan kerana selesanya tempat itu. Bukan juga kerana sedapnya makanan yang disediakan. Tetapi, kerana pengalaman yang tiada ternilai.

Experience is one of the best teacher, right?

Maka, nikmat TuhanMu yang manakah kamu dapat dustakan? 

Mudah-mudahan, SH saya terlaksana di sana. Wahai Tuhan Yang Maha Menyaksikan, saksikanlah!

----

*Segulung apresiasi buat...

Guru-guru yang sangat besar bakti dan jasanya.
Juga kepada Cikgu-BM-to-be, S² dan Photographer. 
Tak lupa, Encik Bos dan konco-konconya. 
Adik-adik bilik 201 yang sangat sporting dan mendengar kata.
Calon UPSR 2013 yang hebat-hebat belaka. 
Dan semua yang terlibat dalam menjayakan PROMIC 2013.

May Allah bless. 

Monday, April 22, 2013

Pertemuan Tidak Diundang

Ia adalah kali pertama saya berjalan sendiri dan ber-' tasaqa' (nota: melepak) 'di pusat beli-belah. Dan pastinya, agak kekok.  

'Mahu ke mana, ya? Ke kedai buku...sudah,' bisik hati kecil.

Jam di tangan dijeling. 6.30 tepat. Saya pun membuka langkah ke surau. Bukan saya tidak tahu, masih terlalu awal untuk solat Maghrib. Tetapi, entah mengapa, seakan ada magnet yang begitu kuat menarik.

Saya duduk membaca di satu sudut surau. Sesekali, wajah diangkat, memerhatikan keadaan sekeliling. Ada beberapa orang yang sedang solat Asar. Daripada penampilan, jelas bahawa mereka baru pulang kerja. Di penjuru kanan surau, seorang nenek sedang berehat.Tangannya tidak henti-henti meratib tasbih. Terselit rasa kagum di hati.

"Adik buat apa di sini?"

Saya sedikit kaget. "Sedang tunggu kawan, Kak."

Dia tersenyum sambil melipat telekung. "Sekolah mana?"

Maka, bermulalah sesi perkenalan saya dengan kakak tersebut.

"Baguslah kalau Adik nak ambil bidang itu. Sesuai dengan jiwa perempuan. Jangan jadi macam Akak."

"Akak memang minat Technical Engineering?"

Kakak itu menggeleng. "Tapi, entahlah. Sejak sekolah, bidang itu yang Akak dapat. Akak nak sambung bidang lain. Tetapi, Allah lebih tahu. Tak semua yang kita nak, Allah bagi. Adakala, Allah tahan dulu, supaya kita bersabar. Allah akan bagi on the right time."

Saya mengangguk. Sambung Kakak itu lagi, "Macam Akak. Dulu, Akak belajar sungguh-sungguh sebab nak gaji besar. Mula-mula Akak kerja di Q. Gajinya seribu dua sahaja. Nampak memang macam banyak. Tetapi, cost of living di situ tinggi. Memang cukup-cukup makan. Nak beri duit pada parents pun tak cukup. Disiplin kerja di situ juga agak kurang. Gaji selalu dapat lewat."

"Lama Akak kerja di situ?"

"Setahun. Kemudian, Akak pindah ke sini. Alhamdulillah, dapat kerja di sini, kilang P. Kilang itu okey, lah.. Ada etika dan disiplin. Gaji pun lumayan. Cuma suasana kerja macam..."

Kakak itu terdiam. Saya lihat matanya berkaca-kaca.

"Almaklumlah, bidang kerja Techical Engineering(TE) ini ramai lelaki. Di bahagian TE, Akak seorang sahaja perempuan. Ramai perempuan di bahagian audit dan kerani. Bila kerja dalam suasana ramai lelaki, faham sahajalah, kerasnya bagaimana. Dimaki hamun itu perkara biasa. Masa mula-mula kerja dulu, menangis memanjang. Banyak kali Akak rasa nak berhenti. Tetapi, entahlah..."

Suasana sunyi sepi. Hanya bunyi kipas berputar.

"Kiranya, Akak hebat dan kuat."

"Apa gunanya hebat dan kuat jika tidak bahagia?"

Saya terpempan.

"Adik, sebenarnya, dari situ Akak belajar, hidup mewah tak semestinya bahagia. Dan Akak juga belajar, membuatkan orang lain bahagia memberikan kita kepuasan dan kebahagiaan. Akak cukup gembira bila dapat beri duit atau belikan sesuatu untuk parents dan keluarga."

"Sebab itukah Akak kuatkan hati dan tak nak berhenti kerja dari situ?"

Kakak tersebut kaku. Saya tidak pasti sama ada dia dengar ataupun tidak. Namun, saya cukup kagum dengan ketabahannya dalam berbakti kepada keluarga.

"Eh, dah nak Maghrib. Akak kena balik dulu. Nanti parents Akak bimbang. Terima kasih sebab sudi layan Akak berbual-bual. Sebenarnya, dah lama Akak tak berbual macam ini. Seingat Akak, paling last, sewaktu Akak ikuti usrah di universiti dahulu."

"Akak ikuti usrah?"

"Dulu. Sekarang, belum berkesempatan. Adik doakan Akak supaya ada masa untuk ikut usrah. Bila Akak tengok Adik tadi, teringat kawan-kawan seusrah dulu."

Kami tersenyum, bersalaman.

"Doakan Akak menemui kebahagiaan, ya Adik."

"Akak doakan saya juga. Dan Akak, nah. Moga ini membantu."

Barang itu disambut dengan wajah yang berseri-seri. Kami berpelukan, persis dua sahabat akrab yang akan berpisah.

Kakak itu berbisik, "Doakan Akak, ya Adik. Doakan Akak dapat hidayah."

Saya hanya mengangguk. Kemudian, Kakak itu mencapai tas tangan sebelum bangkit pergi.

"Er, nama Akak apa ya?"

"Oh, panggil sahaja Kak A. Adik?"

"Nama saya..."

"Jumpa lagi, insya-Allah. Assalamualaikum," ujar Kak A dan melangkah pergi.

"Waalaikumussalam."

Saya bangun, mahu mengambil wudhu'. Tika itu, saya disapa oleh seorang mak cik. "Jumpa kawan lama, Adik?"

"Tidak. Baru sahaja berkenalan sebentar tadi."

Mak cik itu sedikit terkejut. "Baru kenal? Tetapi, mesra bukan main lagi. Macam kawan lama, mak cik tengok."

Saya tersenyum. "Mungkin, itu namanya penangan tarbiyah dan ukhuwah islamiyah, mak cik?" Namun, kata-kata sekadar bermain di minda.

Beduk diketuk, tanda Azan Maghrib akan berkumandang sesaat lagi.

"Ya Allah, tsabbit qulubana..."

Ia adalah pertemuan yang tidak dirancang. Takdir Tuhan mengatasi segalanya. Langit senja menjadi saksi pengalaman bermakna itu.  Mungkin, tidak bermakna buat anda. Tetapi, cukup bermakna buat saya dan Kak A.


Siapa sangka, salam perkenalan itu sangat bermakna?
Siapa juga pernah menyangka, sesi lepak di pusat
beli-belah menjadi sebuah tarbiyah? 

Andai sahaja Allah mentakdirkan Kak A terbaca coretan ini...
Kak A, Uhibbukifillah. Moga Allah sentiasa membimbing hati-hati kita.

Thursday, April 18, 2013

Show not (just) Tell.

#1: "I never met such people."

"I never met such people. It is very nice of you. Thank you," said a waitress, as she took away the dirty plates.

We smiled. From her face, I could clearly see happiness and relieve.

The next day, we go to the same restaurant. And guess what, we are treated as VIP. It is really amazing, huh?

"I never thought that simple actions such as cleaning the dining table at a restaurant could leave good impressions," I whispered to Mom.

#2: Of Paints and Wall

Dad was really impressed ( Actually, I am not sure. But his actions tell so.) with the renovations in the house. New paints, proper wiring-system and neatly-arranged things. Mom, Brother and I have managed to do some 'facelift-project' for our home.

"Who ever make some mess, I want half of his or her savings."

The warning works well. No more mess in the house.


"Here, I show you how to do it."


Sometimes, it is just better to show, not (just) tell. Action speaks louder than words, ain't?
As they said, "Qudwah qabla dakwah".

----
It is my first time blogging in English. How suprising, not even a single idiom!
I think I should find back my idioms. Seriously.

Sunday, March 24, 2013

"Tak licin!"

[Ini tiles]

"Kakak, yang ini macam smart." 

Saya mengangguk. Senang rasanya dapat menemani Ummi ke kedai tiles, atau lebih tepatnya menjadi interior-designer tidak rasmi.

"Aiyoo, Puan. Mana ada orang guna tiles ini untuk ruang tamu. Orang guna untuk parking," tegur pemilik kedai. 

"Sebab itulah saya mahu guna ini, Encik. Lain dari yang lain. Paling penting, tidak licin." 

 Encik menunjukkan sejenis tiles bertona warna tanah. "Oh, ini yang tak licin." 

"Ini licin, Encik." Receptor di telapak tangan kami benar-benar mengatakan tiles itu licin. 

"Tak licin, Puan. Tak licin." 

Saya mengerutkan dahi. Receptor kami atau Encik yang rosak? 

"Baiklah. Ada jenis yang lain? Yang tidak licin juga." 

"Oh, sekejap-sekejap," ujar Encik sebelum menghulurkan sekeping tiles yang membuatkan saya dan Ummi berpuas hati. 

"Ha, ini baru tidak licin!" 

Encik memeluk tubuh. Matanya berseri-seri. "Ya. Ini tidak licin. Yang tadi itu licin." 

"Eh, tadi kata tiles bertona tanah tidak licin. Sekarang, kata licin pula? Yang mana satu sebenarnya?" Mujur persoalan  itu hanya berlegar di benak, tidak pula terkeceplosan di bibir. 

Jujur, saya pernah beberapa orang yang bersikap begini. Tidak tetap pendirian. Dan semuanya daripada latar belakang atau mempunyai kecenderungan yang hampir sama. Atau memang budaya begitu? Saya kurang pasti. Apapun, saya berharap saya tidak begitu. Kerana ia bukan sahaja mengelirukan orang, bahkan menyusahkan! 

Semoga saya dan anda tidak tergolong dalam golongan 'cakap belit-belit' ini. Paling utama, semoga kita tidak 'berbelit-belit' dalam ketaatan kepada Allah. 

YA MUQALLIBAL QULUUB, TSABBIT QULUBANA ALA DINIK
Ya Allah yang berkuasa membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas jalan agama-Mu.


Saya memohon keampunan Allah. 

Friday, March 22, 2013

Taat

"Ummi, tengok tu."

Telunjuk ditunding ke arah Kecil yang membawa lari makanan.

"Tak suka berkongsi." 

Saya mengangguk. Mata masih lekat pada kucing-kucing yang sedang makan lauk ikan dan nasi. Bagi mereka, itu makanan istimewa. Almaklumlah, asyik Frieskies memanjang. 

"Kenapa berderam-deram, Princess?" 

Lantas, ibu kucing itu diam dan kembali mengunyah. 

Di sudut lain pula, Kai sedang 'menunjal' kepala adiknya, Kecil. Saya fikir, Kai memarahi adiknya kerana tamak dan mengambil portion kucing lain. 

"Kai. Kecil. Ada masalah apa?" 

Seakan memahami, Kai menarik kaki dari kepala adiknya manakala Kecil pula mengundur sedikit ke belakang. 

Melihat suasana itu, saya terfikir ragam manusia. Ada yang tamak, ada yang enggan berkongsi, anda yang pemurah, ada juga yang suka mengalah, ada yang manja, ada yang berdikari, ada juga yang kerjanya mengadu memanjang, ada yang suka menjaga tepi kain orang. Aduh, banyaknya ragam!

Namun, di sebalik variasi ragam itu, semua makhluk, khususnya manusia mampu untuk taat. Tetapi, terserah kepada mereka, taat itu diutamakan kepada siapa. Ada orang yang taat pada Allah, ibu bapa, TV, buku, motivasi, bos, fesyen dan pelbagai lagi. Maka, kepada siapa anda taat?

Kucing akan mengekori saya seperti ini jika kami keluar rumah. 

"Sini balik!" saya melaung dari pintu pagar. 

Dari jauh, terlihat mereka berlari pulang, penuh taat. Ya, kucing saya memang begitu. Jika kami keluar, pasti mereka mengekori beramai-ramai. 

Kucing sahaja  mampu taat. Anda? 

Tuesday, March 12, 2013

Separuh Account!

"Ha..chum!"

Saya bersandar pada dinding. Keletihan.

"Cukup-cukuplah tu. Dah bersin macam nak apa dah."

Saya tersengih. Debu dan habuk, bukanlah sesuatu yang boleh dibuat kawan. Kehadirannya sudah cukup membuatkan saya 'merana' dengan bersin secara berpanjangan dan mata memerah.

"Lepas ini, nak kerjakan bilik pula."

Ummi hanya menggeleng. Barangkali sudah biasa dengan sikap saya yang tidak senang duduk melihat kerja separuh siap, terutama jika berkaitan kerja mengemas dan mengatur. 

"Pergi ambil aiskrim Wan."

Saya menurut. Setelah itu, barulah operasi membersih dan mengemas disambung. 

'Alangkah seronoknya jika kerja membersihkan hati dan diri dari karat jahiliyah semudah membersihkan rumah!' hati berbicara sendiri.

Benar, membersihkan karat jahiliyah memerlukan kekuatan persis tukang rumah yang mahu mencungkil tiles di lantai. Atau saya kira, lebih kuat lagi. Kekuatan itu bukannya pada otot. Jika kekuatan untuk membanteras jahiliyah itu terletak pada faktor fizikal, saya pasti sosok tubuh orang beriman akan berketak-ketak seperti sumo. 

Namun, kekuatan itu terletak pada aqidah. Ya, orang yang benar-benar beriman dan mencintai Allah, mereka akan sanggup meninggalkan segala macam spesies jahiliyah secara total. Sebagaimana saat turunnya firman pengharaman arak, para sahabat serta-merta membuang arak. Bahkan, dikatakan bahawa bandar Madinah banjir dengan arak. Mengapa mereka mampu bertindak sedemikian? Kerana tulus dan dalamnya cinta mereka kepada Sang Pencipta tentunya. 

Allahu, wujudkah generasi seperti itu di zaman moden ini? Wahai diri, bukankah sahabat itu juga manusia, sebagaimana kamu? Maka, tidak mustahil bagi generasi hari ini untuk mempunyai aqidah seteguh sahabat. Oh, jangan lupa, kita ini diakui sebagai saudara Nabi.

Suatu ketika berkumpullah Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam bersama sahabat-sahabatnya yang mulia. Di sana hadir pula sahabat paling setia, Abu Bakar ash-Shiddiq. Kemudian terucap dari mulut baginda yang sangat mulia: “Wahai Abu Bakar, aku begitu rindu hendak bertemu dengan ikhwanku (saudara-saudaraku).”
Suasana di majelis itu hening sejenak. Semua yang hadir diam seolah sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi sayidina Abu Bakar, itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihinya melontarkan pengakuan demikian.
Apakah maksudmu berkata demikian, wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu?”Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mulai memenuhi pikiran.
Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku.” Suara Rasulullah bernada rendah.
Kami juga saudaramu, wahai Rasulullah,” kata seorang sahabat yang lain pula.
Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian Baginda bersabda,


Saudara-saudaraku adalah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku dan mereka mencintai aku melebihi anak dan orang tua mereka. Mereka itu adalah saudara-saudaraku dan mereka bersama denganku. Beruntunglah mereka yang melihatku dan beriman kepadaku dan beruntung juga mereka yang beriman kepadaku sedangkan mereka tidak pernah melihatku.” (Hadis Muslim) 

Oleh itu, mari teguhkan aqidah dan kikis jahiliyah!

Kereta mahal + karat ? Aduh, kikislah karat itu!
"Siapa yang sepahkan rumah, Akak nak separuh tabung..."saya melaung usai operasi disempurnakan.

"Eh, bukan, separuh daripada jumlah simpanan terbanyak!" ujar Ummi pula diiringi dengan tawa di hujung. 

"Oh, okey, okey. Siapa yang sepahkan rumah, Akak nak separuh daripada account simpanan terbanyak yang dimiliki oleh sang penyerak."

Dan saya tidak sangka, taktik itu menjadi. Kini, masing-masing menjaga kebersihan dan kekemasan bilik masing-masing.

Tiba-tiba, saya terfikir, perlukah Allah memberi amaran separuh account pahala ditarik untuk memastikan manusia terus berusaha membersihkan hati dari karat jahiliyah? Rasanya, anda sendiri sudah tahu jawapannya.

Saya mohon keampunan Allah.

Tuesday, February 12, 2013

Pak Rempit vs Mat Rempit


Lampu isyarat di hadapan bewarna merah. Kereta yang dipandu Abang mulai perlahan sebelum berhenti di persimpangan.  

"Wan, tengok. Banyaknya kereta. Cuba Wan kira berapa." Saya menarik tangan Wan yang sejak tadi tidak mengerti istilah 'duduk diam'. Kerjanya hanya mengusik Wawa di sepanjang perjalanan. Mujur Wawa tidak melakukan serang-balas.

Wan menoleh ke arah telunjuk saya. Tiba-tiba, dia menjerit riang, "Banyaknya Pak Rempit dan Mak Rempit!" 

Serta-merta, seisi keluarga ketawa. 

"Aduhai, Wan, Wan. Mana ada istilah Pak Rempit dan Mak Rempit. Istilah Mat Rempit dan Minah Rempit ada."

Wan membariskan giginya yang cantik, tetapi sudah kehilangan dua batang itu. "Bukankah orang yang menunggang motosikal itu kelihatan tua-tua? Jadi, kalau lelaki, 'Pak Rempit' . Kalau perempuan, 'Mak Rempit'."

Ketawa kami masih belum menemui noktah. Adakah wujud golongan yang berusia merempit? Saya kira, saya tidak pernah menemui golongan 'Pak' atau 'Mak' yang merempit setakat ini. 

Akhirnya, tawa kami berjaya 'dicantas' oleh Wan. "Ada tertulis 'Air Terjun' pada signboard itu."

 Bibir Wan menguntum senyum. Saya sudah boleh mengagak apa yang bakal dilontarkan olehnya. 

"Jom pergi air terjun nak tak? Wan teringin nak pergi air terjun." Saya menepuk dahi. Ah, telahan saya tepat! 

Ummi menoleh ke seat di bahagian belakang. "Tidak boleh,Wan. Bahaya sebab sekarang musim hujan." 

Wan mulai cemberut. Saya pula buat-buat tidak nampak. Adakala, kanak-kanak (sebenarnya,orang dewasa juga) perlu diberi ruang bersendiri untuk meredakan kesedihan atau kemarahan, bukan begitu? Cuma bezanya, tempoh rajuk anak kecil lebih singkat daripada orang tua. Barangkali, kerana anak kecil tidak pandai berdendam. Atau tiada langsung istilah hasad dan dendam dalam kamus kehidupan mereka? Allah, sucinya hati mereka. 

Benar, tidak sampai seminit, Wan kembali tersengih. "Eh,Wan nampak..."

"Wan nampak Pak Rempit kah?" ujar Wawa. Perkataan 'Pak Rempit' ditekankan dengan nada yang agak berat. 

Tidak semena-mena, kami kembali tertawa. Lampu hijau sudah kelihatan. Kereta yang dipandu Abang kembali bergerak.

Saya terfikir, jika para perempit ini benar-benar dipanggil 'Pak' dan 'Mak' (bukan 'Mat' dan 'Minah') , apakah yang akan terjadi? Entahlah, saya tidak tahu. Kerana saya tidak pernah bermimpi untuk menjadi perempit jalanan jauh sekali perempit profesional di racing-circuit. Cukup sudah saya merempit di sini, di jalan menuju ke syurga! 

Ya Allah, izinkanlah. 

Thursday, February 7, 2013

Tulis

" Ish, cuba Akak tengok ini. Adakah patut mereka papar berita sebegini rupa? "

Saya mengalihkan pandangan ke arah berita yang dipaparkan di skrin TV. Berita yang cukup sadis (sehingga saya tidak sanggup menceritakannya di sini)

" Sepatutnya,perkara sebegini tidak boleh ditayang. Memang niat mereka baik, untuk memberi kesedaran kepada masyarakat. Tetapi, masyarakat lebih terdorong untuk mendapat idea bagi berbuat jahat. Sewaktu Ummi kecil dahulu, TV menjadi medium pendidikan masyarakat. Tiada drama pelik-pelik. Berita tentang jenayah pun sangat jarang. Sekarang,jadi topik hangat pula, " ujar Ummi. Tangannya mencapai alat kawalan TV. Serta-merta, skrin menjadi hitam.

" Patutlah, Allah larang kita menghebohkan aib orang.. " 

Saya hanya membisu. 

Perkara ini saya dan Ummi bincang suatu ketika dahulu. Namun, saya tidak tahu apa yang patut saya lakukan. Cuma, saya sedar, perkara itu salah. 

Takdir Allah, susunan yang sangat indah dan penuh hikmah. Kembara hidup saya kini menuntut pembacaan (dan menonton TV) yang lebih banyak. Dari situ, saya sedar, betapa ramainya penulis buku, wartawan akhbar, pengulas isu di majalah, kartunis, direktor filem, penulis skrip drama dan filem serta jurnalis yang telah melanggar etika menulis. Malah, majoriti blogger juga berbuat begitu!


Jujur saya katakan, penulisan pada zaman ini masih dijajah Barat. Karya di zaman ini hanya berasaskan imaginasi dan logik. Tidak hairanlah cerita gossip tumbuh umpama cendawan selepas hujan. Malah, ada pihak yang sengaja mereka cerita supaya jualan produk mereka terus laku.

Asas penulisan kita bukan logik & imaginasi,
tetapi, Al-Quran & as-Sunnah.
Saya teringat kisah yang pernah Ummi ceritakan suatu ketika dahulu. Tersebutlah kisah, seorang gadis yang mati dibunuh dalam keadaan yang kurang elok. Berita tersebut menjadi topik hangat lagi sensasi di media utama buat beberapa ketika. Sangat menyentuh hati. Si ayah yang sudah tua berlari ke sana ke mari, memungut kesemua akhbar yang memaparkan kisah pembunuhan anaknya. Si ayah itu bukanlah dari keluarga jahat. Malah, ia adalah keturunan yang baik-baik. Cuma, Tuhan mengujinya sebegitu. 


Tetapi, sayang seribu kali sayang, segelintir pihak yang buta mata hatinya mengambil kesempatan atas kesedihan orang lain. Duit lebih berharga bagi pihak ini, bukan begitu? Ini baru kisah kematian. Bagaimana pula kisah perceraian atau kegagalan orang lain? Setiap manusia punya ujian berbeza. Kita tidak pernah mengetahui apa yang dirasai dan dihadapi oleh orang lain. Mahukah kita jika kisah hitam kita diceritakan di hadapan umum juga? 

Bagaimana pula dengan isu jenayah?  

Barangkali, ramai yang terfikir sebegini. Boleh, namun cukup menceritakan kes secara di permukaan sahaja. Detail kes itu tidak perlu. Siapa sahaja yang peduli kisah orang mati kerana dikerat-kerat? Saya kira, berita sebegini bukan memberi kesedaran kepada masyarakat. Tetapi, melahirkan masyrakat yang 'terlebih' berhati-hati. Lebih parah, ia memberi idea untuk orang berbuat jahat! Tidak hairanlah jika jenayah di negara kita meningkat saban hari. 

' Hek-eleh.. Apa sangatlah effect penulisan? Sekadar ayat sahaja kot. '

Majoriti orang berfikiran begitu. Lupakah kita bahawa pemerintahan Adolf Hitler juga bermula dengan  pelaksanaan idea dan pemikiran yang tercatat dalam sebuah buku bisu? Paling utama, lupakah kita bahawa Al-Quran itu juga adalah kalam, yang telah merubah seluruh dunia?

Saya kira, kini anda dapat melihat dengan jelas 'kuasa' yang ada dalam sebuah coretan. Ia mampu mengubah pemikiran manusia, menjadi penawar. Dan ia juga boleh bertindak merosakkan manusia dan menjadi racun. Saya teringat hadith riwayat Thabrani yang dibaca tempoh hari;

' Tiga orang yang akan selalu diberi pertolongan oleh Allah adalah seorang mujahid yang selalu memperjuangkan agama Allah, seorang penulis yang selalu memberi penawar dan seorang yang menikah untuk menjaga kehormatannya.' 

Saya kira, andai anda yang membaca nota saya ini adalah seorang penulis, saya mohon maaf. Saya sedar, saya tidak sehebat anda. Cuma, saya menyimpan satu cita-cita, menjadi penulis yang disayang Tuhan. Dan saya berharap, anda juga mempunyai cita-cita yang sama.


Mudah-mudahan Allah mengampuni dan memberi petunjuk buat kita semua.  


Wednesday, February 6, 2013

" Fuh, BMT sungguh! "

Menjadi kegemaran saya dan Wan untuk berebut meminta disuap oleh Ummi. Ya, saya sedar saya sudah 'agak tua', tetapi, untuk bermanja dengan ibu,  it's never to old right?

" Ummi, Akak hendak nasi dan telur putih sahaja, tidak mahu telur kuning." 

" Ish, Akak ni banyak sewel lah!" rungut Wan. 

" Ha?! Wan cakap sewel? " 

Wan kelihatan terpinga-pinga. Daripada tindakannya, saya dan Ummi tahu bahawa dia telah tersilap menggunakan istilah.

" Sewel itu apa, Ummi? "

" Sewel ialah otak yang sudah tidak dapat berfungsi dengan betul. Sepatutnya, Wan sebut rewel, bukan sewel. Rewel itu kerenah orang." 

" Oh, tersilap. Ish, Akak ini, banyak rewel lah!" 

Entah mengapa, ayat Wan itu menggeletek hati. Barangkali bukan kerana ayatnya yang hebat, tetapi, kerana orang yang mengeluarkan kata-kata itu ialah seorang kanak-kanak kecil yang baru menjejakkan kaki ke alam persekolahan.

Ya, Wan menggunakan bahasa yang agak 'high-class'. Atau sifu-sifu saya menyebutkan sebagai Bahasa Melayu Tinggi (BMT). Saya tahu, pasti anda sudah mulai mengerut dahi dan menyangka bahawa BMT ini adalah bahasa Dato' dan Datin atau ringkasnya orang ternama. 

Bukan. BMT ialah penggunaan Bahasa Melayu standard yang boleh difahami sepanjang zaman, tanpa mengira usia,tempat atau etnik. Contohnya, istilah 'berkata'. Ada bahasa loghat yang menggunakan 'ghoyak' ataupun 'kecek'. Orang Indonesia pula menggunakan istilah 'ngomong' dan 'bilang'. Bayangkan situasi berikut berlaku sewaktu berseminar. 

" Saya sudah bilang, begini keadaannya." kata Tuan A.

" Apa yang Tuan bilang?" balas Tuan B. 

" Saya bilang, begini keadaannya!" 

Saya pasti akan timbul perselisihan faham kerana kebanyakan orang Malaysia memahami istilah 'bilang' sebagai 'mengira'. Maka, bukankah lebih elok dan manis sekiranya menggunakan bahasa yang sempurna. Malah, kita akan terlihat seolah 'high-class' dan mempunyai tahap intelek yang tinggi. Salah satu sebab mengapa filem P. Ramlee tetap segar juga adalah kerana penggunaan BMT. 

Dan rupanya, Al-Quran juga diturunkan dalam  BAT (Bahasa Arab Tinggi) sewaktu masyarakat Arab Jahiliyah menggunakan Bahasa Arab Rendah. Tidak hairanlah jika masyarakat waktu itu begitu takjub dan terpegun. 

Malah, sewaktu orang Eropah mencapai zaman kegemilangannya, masyarakat menggunakan Bahasa Inggeris Tinggi juga. Misalnya, mereka menggunakan gelaran 'my lady' (dalam BMT : cikpuan) untuk para wanita. Kini, masyarakat Eropah kian meninggalkan bahasa mereka. Dan kita lihat, 'jatuhnya' era kegemilangan mereka seiring dengan kejatuhan etika mereka berbahasa. 

Dan saya fikir, suasana itu berulang dalam masyarakat kita kini. Bahasa pasar yang digunakan menjadikan jiwa bangsa turut rendah. Kini, baru saya faham mengapa dikatakan 'bahasa jiwa bangsa'. Saya juga mulai sedar mengapa As-Syahid Imam Hasan Al-Banna bersungguh-sungguh menyeru umat Islam supaya menguasai Bahasa Arab Tinggi. Kerana bahasa yang tinggi itu memaparkan imej,akhlak,jiwa dan tahap intelek yang tinggi juga. Bahkan, saya membayangkan kelak, Bahasa Arab Tinggi akan menjadi lingua franca dan sesiapa yang tidak menguasainya akan dianggap kolot (sebagaimana masyarakat sekarang yang tidak mahir speaking dianggap kolot)

Maka, mari duduk sejenak, memperbaiki cara kita berbahasa. 


" Wah, hebatlah.. Tiba-tiba, Akak teringat Naufal (adik saudara yang baru berusia 3 tahun)."

" Ha'ah. Teringat ayatnya tempoh hari. ' Abang Wan, mari kita berlari.' Tak sangka dia boleh cakap sebegitu." 

Saya terkekeh-kekeh. " Fuh, BMT sungguh! "


Nota :
A : Kemampuan linguistik yang tinggi melambangkan tahap intelek yang tinggi. 
B : Kalau linguistik tinggi, pastu org pening nak faham, tandanya apa? Kena rendahkan intelek la? 
A: Hikmah dan intelek sepatutnya bergandingan.

Ini adalah status di Facebook yang pernah saya baca.
Saya akui, ada beberapa blog dakwah yang popular menggunakan bahasa pasar.
Itu tidak salah, kerana mereka mengamalkan konsep 'hikmah'.
Tetapi, alangkah bagusnya sekiranya hikmah dan intelek itu digandingkan.
Pasti lebih 'umph!' kerana isi blog itu dapat diterjemah kepada bahasa lain dengan lebih mudah.
Seterusnya, lebih ramai orang dapat menikmati mesej yang ingin disampaikan!