Saturday, January 26, 2013

Ini silap besar!

Hah! Silap besar?!

Saya dan Ummi menanti di dalam kereta dengan penuh sabar. Pejabat yang menjadi tempat saya perlu berurusan masih belum beroperasi. Ia hanya akan dibuka dalam tempoh kurang 45 minit. Maka, masing-masing mencapai buku dan mulai menelaah.

" Ummi suka tulisan Pahrol Juoi dalam buku ini, " ujar Ummi, sekali gus membuka topik perbincangan. 

" Akak nak tahu tak kesilapan besar yang dilakukan oleh ramai ibu bapa terhadap aqidah anak-anak?" 

" Apa kesalahannya , Ummi? " 

" Kesalahannya ialah apabila anak berkelakuan buruk, ibu bapa berkata 'Ibu tak suka adik buat begini' atau 'Ayah marah bila along berkelakuan nakal seperti itu'. Sepatutnya, ibu bapa cakap begini ; 'Allah tak suka adik buat begini. Bila Allah tak suka, ibu pun tak suka.' Dengan itu, anak-anak akan faham bahawa perbuatan buruk itu dibenci Allah. Secara tidak langsung, mereka akan menjauhi perbuatan itu di mana atau pada bila-bila masa. Bukankah qidah akan terpasak lebih kukuh?" terang Ummi. 

Saya terdiam sejenak. Benar,fenomena ini sudah menjadi adat dan kebiasaan masyarakat. Memang tidak dapat dinafikan, ramai ibu bapa suka menggunakan statement 'Ibu/ayah tak suka adik buat begini' . Perkara ini tidak salah, cuma, kurang tepat dari sudut psikologi anak juga aspek aqidah . Melalui statement ini, ibu bapa sebenarnya menanamkan sikap 'takut untuk berbuat nakal di hadapan kedua orang tua'. Dan akhirnya, terjadilah fenomena di mana anak hanya akan berkelakuan baik di hadapan ibu bapa tetapi bertindak sebaliknya apabila jauh dari pengawasan kedua orang tua. Maka, lahirlah generasi yang 'beriman' kepada ibu bapa, bukan beriman secara total kepada Allah. 

Saya pasti, mungkin ada yang mengatakan saya masih mentah atau belum cukup makan garam untuk membahaskan tajuk ini. Namun, ini realiti masyarakat yang perlu diperbaiki dan diluruskan kembali. Jika tidak dibongkar, kelak, ia akan terus bernanah dan berkudis. Dan suka untuk saya ingatkan di sini, fenomena ini tidak terhad kepada ibu bapa sahaja, malah , juga antara guru dengan murid serta majikan dengan pekerja. Oh ya, antara senior dengan junior juga! 

" Kiranya, lepas ni, apabila hendak menegur, kita kena cakap, 'Allah tak suka. Sebab itu kita juga tak suka perbuatan buruk itu', kan? " 

Ummi mengangguk sebelum kembali menatap buku kegemarannya itu.

" Ianya kesilapan besar, namun dipandang kecil. Membuat atau meninggalkan sesuatu itu biarlah kerana Allah. Kerana hakikatnya, kita beriman kepada Allah, bukan beriman kepada hamba Allah! " getus hati ini. Sungguh, pelajaran ini sangat bermakna!

Ya Allah, aku memohon keampunanMu. 

0 Berbicara: